Modul latihan IPG lahir guru berkualiti
Putrajaya: Syarat kemasukan lebih ketat ke Institut Pendidikan Guru (IPG), termasuk pemilihan calon dalam kalangan 30 peratus teratas kelompok murid cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mampu menghasilkan guru serba boleh dan berkualiti pada masa depan.
Menerusi Anjakan 4, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, Kementerian Pendidikan melakukan transformasi latihan guru yang memberi impak besar kepada profesion itu dalam aspek pembangunan kreativiti dan kualiti guru setanding pengajaran pada peringkat antarabangsa.
Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Lee Boon Hua, berkata penstrukturan semula latihan bagi guru pelatih itu diterjemahkan dalam satu modul pembelajaran baharu untuk diselaraskan di semua 27 kampus IPG di seluruh negara.
IPGM badan induk selia modul latihan, kokurikulum
Beliau berkata, IPGM bertindak sebagai badan induk yang menyelia setiap modul latihan dan kokurikulum guru pelatih, selain menentukan dasar serta hala tuju di setiap kampus IPG untuk mengimbangi kesaksamaan kualiti latihan guru pelatih.
“Selain mengguna pakai input daripada pensyarah di Pusat Pembangunan Akademik (PPA) di IPGM, kita turut mendapat pandangan serta kepakaran pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.
“Ini bagi memastikan perkembangan berterusan pembangunan kokurikulum modul latihan guru pelatih untuk diselaraskan di seluruh kampus IPG,” katanya.
Selepas menaik taraf maktab perguruan kepada IPGM mulai 2009, institusi itu dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pelbagai program latihan perguruan merangkumi pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
IPGM juga menyasarkan penawaran program latihan perguruan hingga ke peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) bagi latihan perguruan yang mengkhususkan pengajaran kursus berimpak tinggi.
Boon Hua berkata, hampir 4,000 pensyarah IPG di seluruh negara adalah mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang pengkhususan tertentu.
“Sebanyak 95.3 peratus daripada pensyarah memiliki kelayakan akademik pada peringkat ijazah sarjana dan sembilan peratus daripadanya berkelayakan sehingga peringkat PhD.
“Penanda aras tinggi ini membuktikan IPGM benar-benar serius untuk memastikan 45,000 guru pelatih yang kini sedang mendapat latihan di IPG seluruh negara sebagai perintis bagi model guru berkualiti,” katanya.
Program latihan praktikal dirombak
Beliau berkata, kerangka program latihan praktikal di sekolah turut dirombak yang mana guru pelatih akan memulakan sesi pengajaran di sekolah mulai semester lima dan semester tujuh, masing-masing selama 12 minggu.
Selain turut terbabit pada minggu orientasi sekolah, guru pelatih didedahkan dengan kemahiran mengurus dan memimpin pelbagai program di peringkat sekolah merangkumi aktiviti kokurikulum.
“Dengan lebih banyak praktikal serta orientasi membabitkan guru pelatih di sekolah, ia berupaya mewujudkan satu budaya dan aktiviti yang melengkapkan struktur organisasi yang baik di sekolah.
“Kita percaya, dengan penambahbaikkan program praktikal bagi guru pelatih di sekolah, bakal guru ini akan lebih bersedia pada hari pertama lagi untuk merealisasikan PPPM,” katanya.
Perkembangan guru dipantau selama setahun bagi memantapkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Modul mampu diterjemah oleh guru kepada pelajar
Katanya, pemantauan yang dilakukan sejak dua tahun lalu itu bagi memastikan modul yang diterapkan di IPG mampu diterjemahkan oleh guru kepada pelajar termasuk kemahiran penggunaan teknologi maklumat (ICT), mempraktikkan konsep kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) serta kerjasama berpasukan pada peringkat sekolah.
Beliau berkata pengalaman luas serta kolaborasi IPGM bersama universiti dan kolej pendidikan guru pada peringkat antarabangsa menjadikan IPGM diiktiraf dunia, manakala kursusnya setanding negara maju.
“Pada akhirnya, dengan dengan kira-kira 11,500 lepasan baharu IPG ini, kita mahukan dasar PPPM tidak saja berakhir pada 2025, sebaliknya sasaran lebih besar untuk menghasilkan guru yang boleh melaksanakan pembelajaran dan pengajaran yang memanfaatkan pelajar di sekolah,” katanya.
1 ulasan:
hakikat sebenarnya IPG masih ada banyak kelemahan lagi di beberapa tempat lah...Bukan semua IPG :) hehehe
dtg sini BW dari segmen mia liana :)
Catat Ulasan