Jumaat, 20 Jun 2014

Anak Syarikat Kerajaan Kelantan Alami Kerugian Terkumpul RM4.95 Juta.



KUALA LUMPUR 18 Jun - Prestasi Perdana Resort Sdn. Bhd. (PRSB), yang merupakan anak syarikat kerajaan Kelantan didapati tidak memuaskan apabila mengalami kerugian sebelum cukai sejumlah RM0.81 juta pada tahun 2011. 
 
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2, sehingga akhir tahun 2012, kerugian terkumpul PRSB adalah sejumlah RM4.95 juta.

 
"Selain itu, analisis nisbah kewangan juga menunjukkan trend yang kurang memberangsangkan bagi tempoh 2008 hingga 2011," menurut laporan tersebut. 
 
Menurutnya, terdapat kelemahan dalam pengurusan aktiviti, tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan termasuk kemudahan resort dan kualiti perkhidmatan kurang memuaskan dan kadar penginapan purata tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. 
 
Selain itu, kelemahan lain ialah hasil pendapatan operasi tidak dapat menampung perbelanjaan operasi, pembangunan Taman Tema Air tidak dilaksanakan dan perancangan strategik yang memfokus kepada pelan jangka pendek dan jangka panjang tidak disediakan.
 
Laporan itu memberitahu, pencapaian terhadap Key Performance Indicator tidak dilaporkan setiap 6 bulan sekali, penyata penyesuaian bank bulanan tidak disediakan, hasil kutipan lewat dimasukkan ke bank dan daftar aset tidak lengkap dan tidak dilabel.
 
Justeru, laporan tersebut mengesyorkan PRSB melaksanakan penambahbaikan bagi mempertingkatkan prestasi kewangan syarikat manakala perbelanjaan pula dilakukan secara cekap dan berhemat. 
 
"Selain itu, pihak pengurusan perlu memperbaiki kualiti perkhidmatan ke tahap memuaskan bagi menarik lebih ramai pengunjung. 
 
"Seterusnya syarikat perlu melaksanakan promosi dan strategi pemasaran yang berkesan bagi meningkatkan bilangan bilik yang dapat disewakan supaya kadar penginapan purata mencapai sasaran yang ditetapkan," jelasnya. 
 
PRSB ditubuhkan pada 23 Ogos 1988 dan merupakan syarikat subsidiari milik penuh Hotel Perdana Sdn. Bhd. (HPSB) yang dimiliki 100 peratus oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
 
alt

Tiada ulasan:

Blogger news