KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan pelantikan enam menteri baru yang terdiri daripada pemimpin
parti komponen Barisan Nasional (BN) MCA dan Gerakan dalam barisan
kabinet dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat
kabinet hari ini.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai
diumumkan sebagai Menteri Pengangkutan manakala Presiden Gerakan Datuk
Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong sebagai
Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, tiga naib
presiden MCA iaitu Senator Lee Chee Leong bakal memegang jawatan
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee
Yong selaku Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datin Paduka Chew Mei Fun
sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Pelantikan Liow sebagai menteri pengangkutan sekaligus mengesahkan
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kini tidak lagi memangku jawatan
itu.
Perdana Menteri menyifatkan perubahan dalam kabinet ini
diperlukan untuk memantapkan Barisan Nasional (BN) dan beliau gembira
parti MCA dan Gerakan kembali ke dalam kabinet.
Ia juga sejajar hasrat kerajaan untuk membentuk pasukan jitu dalam pentadbiran dan kepimpinan rakyat.
Pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang
Di-Pertuan Agong dan istiadat mengangkat sumpah jawatan akan diadakan
Jumaat ini di Istana Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan