KUALA LUMPUR - Seorang bekas penolong pegawai di Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini mengaku tidak
bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap enam pertuduhan memperoleh
rasuah hampir RM600,000.
Hazmi Samsudin, 39, bertugas sebagai penolong pegawai Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ketika kejadian di kementerian itu,
didakwa menerima sogokan antara RM98,455 hingga RM99,640.
Mengikut pertuduhan, bagi pertuduhan pertama dan keenam, Hazmi
didakwa memperoleh rasuah 10 peratus daripada setiap enam projek
kerajaan melalui enam syarikat berlainan dengan perantaraan seorang
individu bernama Zainal Arifin Lahuri.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Aras 1-6, Blok E, Kompleks Pejabat
Kerajaan Bukit Perdana, Jalan Datuk Onn, di sini, antara Jun 2011 dan
Oktober 2011.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda
lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih
tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab menawarkan jaminan
RM50,000 bagi setiap pertuduhan dan pasport tertuduh diserahkan kepada
mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili
tertuduh merayu kepada mahkamah agar mengurangkan jumlah jaminan kepada
RM30,000 atas alasan anak guamnya perlu menanggung isterinya yang tidak
bekerja dan ibu bapanya.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin
RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan kemudian
menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan semula.
Hazmi membayar jaminan itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan