Isnin, 16 Jun 2014

Bank Persatuan mahu tingkat modal saham

Bank Persatuan Malaysia Berhad menyasarkan untuk meningkatkan permodalan sahamnya kepada RM400 juta menjelang tahun depan. 

Pengerusinya, Datuk Yusra Sabar, berkata sehingga Disember tahun lalu, modal saham bank itu RM361 juta, merangkumi keahlian individu seramai 66,177 (RM325.5 juta) dan 442 koperasi (RM35.5 juta). 


“Bayaran saham minimum untuk menjadi ahli individu adalah RM500 dan bagi anggota koperasi ialah RM3,000,” katanya selepas pembukaan rasmi Bank Persatuan Cawangan Johor Baharu di Bandar Baru UDA, Johor, baru-baru ini.
 
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Yusra berkata, bank itu mencatatkan pendapatan operasi RM90.1 juta tahun lalu berbanding RM76.6 juta pada tahun 2012, peningkatan 17.7 peratus dengan keuntungan RM26.3 juta. 

Katanya, sehingga akhir 31 Disember 2013, baki pembiayaan adalah sebanyak RM1.04 bilion berbanding RM876.7 juta pada tahun sebelumnya, meningkat 18.6 peratus atau RM163.3 juta. 

“Sehingga kini Bank Persatuan mempunyai 15 cawangan dan akan membuka lima cawangan di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya. 
Beliau berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya akan memberi tumpuan untuk mengeluarkan pembiayaan kepada sektor koperasi di seluruh negara, selain pembiayaan runcit dan korporat. 

"Kami juga akan mula menawarkan produk pembiayaan kepada bukan anggota yang dijangka mula dilaksanakan pertengahan tahun ini. 

"Kita juga menetapkan sasaran pengeluaran pembiayaan secara keseluruhan sebanyak RM500 juta sepanjang tahun," katanya.

Tiada ulasan:

Blogger news