Isnin, 30 Jun 2014

Cukai pintu: Pas hantar petisyen bantahan

KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu akan menghantar semua petisyen dan bantahan rakyat secara bertulis mengenai cadangan kenaikan kadar cukai pintu oleh Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Ahad ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, sembilan wakil rakyat Pas di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sudah mula mengumpul petisyen itu sejak sebulan lalu



Selain itu katanya, Pas bersama NGO turut memberi taklimat dan penerangan kepada rakyat mengenai isu kenaikan cukai pintu untuk memberikan lebih penjelasan serta kefahaman kepada mereka


“Selain taklimat, kita juga arahkan setiap cawangan untuk berikan borang bantahan sebagai saluran untuk mereka mendesak MBKT mengkaji kenaikan itu.

“Cuma apa kita kesalkan, usaha kita untuk berjumpa dengan Datuk Bandar bagi membincangkan mengenai isu ini masih belum berjaya sehingga sekarang, sedangkan 1 Jun adalah tarikh akhir untuk kemukakan bantahan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurut Raja Kamarul lagi, pihaknya sudah menghantar surat pada 4 Mei lalu untuk mengadakan perjumpaan bersama tujuh Adun dan dua ahli parlimen dari Kuala Terengganu serta Kuala Nerus dengan Datuk Bandar pada 6 Mei.

Namun pada tarikh berkenaan, wakil MBKT memaklumkan Datuk Bandar tiada kerana mempunyai urusan rasmi lain dan satu tarikh akan ditetapkan untuk perjumpaan itu.

Justeru katanya, semua wakil rakyat terlibat amat kesal kerana selepas hampir sebulan menunggu, mereka masih tidak diberi ruang untuk berjumpa dengan Datuk Bandar.

“Kenapa kenaikan itu dibuat sekarang? Kalau dia (MBKT) tak naikkan cukai pintu sejak 1981 sehingga sekarang, itu adalah masalah pentadbiran. Kita bukan kata kerajaan tidak berhak naikkan cukai pintu, tapi kenapa dia (kerajaan) tidak naikkan cukai pintu begitu lama?

“Bukan kita mempertikaikan hak kerajaan, tetapi adakah kadar itu munasabah? Kita kumpul lebih 30 tahun dan naikkan sekali gus? Kerajaan perlu ada perancangan, mereka ada hak tetapi perlu buat secara berperingkat,” katanya.

Tiada ulasan:

Blogger news