KUALA LUMPUR: Berita baik untuk pengendali bas sekolah yang mempunyai bas berusia bawah 25 tahun.
Mereka kini boleh memohon untuk menyertai Skim Penggantian Bas Sekolah
yang sebelum ini hanya dibuka bagi bas sekolah berusia lebih 25 tahun.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan
berkata, penambahbaikan skim itu dibuat dengan persetujuan Kementerian
Kewangan bertujuan mempertingkat mutu dan perkhidmatan bas sekolah demi
menjamin keselamatan pelajar.
"Untuk menjayakan program ini,
kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi membantu pengendali dalam
memastikan keadaan bas sekolah selesa dan selamat," kata kenyataan itu.
Program yang dilaksanakan SPAD sejak awal 2013 itu merupakan skim
subsidi yang merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban
pengendali dengan bantuan rebat RM10,000 bagi setiap pemohon dan bayaran
kadar faedah tetap dua peratus setahun.
Ujar kenyataan itu
lagi, bagi mendapatkan kelulusan khas ini, pengendali perlu mengemukakan
laporan gagal pemeriksaaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer
(PUSPAKOM) semasa memohon ubah syarat penggantian kenderaan di mana-mana
pejabat Wilayah dan Negeri SPAD.
Bagaimanapun kata kenyataan
itu, kelulusan pinjaman pembiayaan kenderaan ini terletak di bawah
bidang kuasa Bank Simpanan Nasional (BSN).
Pengendali yang berminat boleh mengunjungi mana-mana pejabat negeri SPAD dan BSN untuk maklumat lanjut.
Sebelum ini, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar meminta semua bas
sekolah berusia 30 tahun dan ke atas perlu digantikan dengan baharu
menjelang hujung tahun lepas.
Jelasnya, langkah itu diambil
bagi memastikan keadaan fizikal bas adalah baik dan menjamin keselamatan
perjalanan kanak-kanak ke sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan