Sabtu, 5 Julai 2014

Dua lelaki tempatan terbabit sindiket jual pasport Malaysia ditahan

PUTRAJAYA: Dua lelaki tempatan ditahan Jabatan Imigresen kerana disyaki terbabit dalam sindiket menjual pasport Malaysia kepada warga asing dalam satu operasi di Puchong, Selangor, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat berkata wang tunai RM70,000 turut dirampas daripada kedua-dua lelaki berusia 29 tahun itu.


 
"Semasa ditangkap mereka cuba merasuah pegawai penguat kuasa imigresen, jadi kes itu kita turut serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu dikesan mempunyai rangkaian antarabangsa yang menguruskan dokumen perjalanan untuk ke negara tertentu.

"Justeru itu orang ramai dinasihatkan lebih berhati hati menjaga maklumat peribadi agar tidak diketahui oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata jika individu didapati sengaja menjual maklumat peribadi untuk kegunaan sindiket, boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen.

Aloyah berkata jabatannya sedang menjalankan kajian untuk memperketat prosedur pengeluaran pasport dalam usaha membanteras sindiket seumpama itu.
Sementara itu, menurut kenyataan SPRM hari ini, kedua-dua suspek telah dibawa ke ibu pejabat SPRM untuk membantu siasatan, dijangka dibebaskan pada hari ini dengan jaminan sejumlah wang tunai.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Blogger news