Selasa, 8 Julai 2014

GST:Dimana Kita?


CUKAI Barang dan Perkhidmatan, atau GST, meskipun bukan satu istilah baharu, kini menjadi tajuk perbincangan yang meluas dalam kalangan rakyat Malaysia apabila cadangan pelaksanaannya diumumkan dengan rasmi pada Oktober tahun lepas.

GST akan dilaksanakan mulai 1 April, 2015 pada kadar enam peratus untuk menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan pelaksanaan GST semasa membentangkan Bajet 2014.





Menjelang Ogos, warga Malaysia mempunyai masa lapan bulan lagi untuk bersedia bagi GST.


Bagaimanapun, pelaksanaan GST akan terjejas jika keseluruhan rantaian bekalan, dari pengeluar, pengedar, peruncit hinggalah kepada pengguna akhir, mengambil sikap 'menyepi dan tidak ambil tahu'.


Contohnya, beberapa istilah penting juga perlu difahami terlebih dahulu -- bekalan yang dikenakan kadar standard, kadar sifar dan dikecualikan.


Pemilik kepentingan harus mengetahui barang dan perkhidmatan mana yang terletak di bawah kategori bekalan kadar standard, kadar sifar dan dikecualikan, dan sama ada ia boleh dituntut atau tidak boleh dituntut.


Pada prinsipnya, GST akan dikenakan ke atas semua barang dan perkhidmatan yang dihasilkan di dalam negara, termasuk import.


Beberapa barang makanan asas, pengangkutan awam, tanah, pakej pengebumian, kesihatan dan pendidikan swasta, perkhidmatan kewangan, tol lebuh raya dan penginapan selama 28 hari, tidak tertakluk kepada GST.


Kadar-kadar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sekarang adalah masing-masing pada kadar 10 peratus dan enam peratus. Dengan demikian, pemilik kepentingan harus mengetahui bagaimana GST akan 'melayani' mereka selepas 1 April, 2015.


Sebanyak tujuh negara Asean telah pun melaksanakan cukai ini.

Indonesia merupakan yang pertama mengambil langkah ini pada tahun 1984, diikuti oleh Filipina (1988), Thailand (1992), Singapura (1994), Vietnam (1999), Kemboja (1999) dan Laos (2009).


Kecuali Singapura yang pada mulanya mengenakan kadar tiga peratus, enam negara lain bermula pada kadar 10 peratus.


Lama kelamaan kadar cukai ini berubah dan kini Singapura dan Thailand masing-masing mengenakan tujuh peratus.


Filipina mengenakan kadar paling tinggi dalam kalangan negara Asean itu, iaitu 12 peratus manakala yang lainnya 10 peratus.


Di peringkat dunia, Norway, yang melaksanakan GST pada 1970, mengenakan kadar cukai tertinggi pada kadar 25 peratus sekarang, lima peratus lebih tinggi daripada kadar permulaannya pada 20 peratus, diikuti oleh Maghribi dan UK, masing-masing pada 20 peratus.


Kira-kira 160 negara di dunia telah melaksanakan GST.


Ternyata, Malaysia lewat melaksanakannya tetapi ia memperkenalkan kadar yang jauh lebih rendah berbanding negara-negara yang terlebih dahulumelaksanakannya, yang terdiri daripada negara-negara berpendapatan sederhana rendah, sederhana tinggi dan tinggi.


Kerajaan mencadangkan pelaksanaan GST pada kadar lebih rendah untuk meneutralkan kesan cukai ke atas rakyat dan pengguna agar tidak membebankan mereka, terutamanya golongan berpendapatan rendah.


Dengan mengenakan GST pada kadar lebih rendah, dijangkakan pengguna akan meraih manfaat daripada penurunan harga yang tidak dijangkakan bagi kebanyakan barang dan perkhidmatan.


Untuk memberikan kefahaman yang lebih baik tentang 'ramuan' GST, agensi berita nasional, Bernama, akan menganjurkan satu persidangan pada 10 dan 11Julai ini di Hotel DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur dengan kerjasama Tax Advisory and Management Services Sdn Bhd (TAMS).


Penceramah utama dari industri-industri khusus, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menyampaikan maklumat kepada para peserta mengenai GST.

 
Pendaftaran awal diperlukan bagi persidangan ini dan boleh dibuat dengan menghubungi Sekretariat Perhubungan Media dan Pengurusan Acara Bernama (MREM) di talian 03-2694-1024/3 atau Nadrah Yusof 03-26962157 (nadrah.yusof@bernama.com) atau Noor Hanim Noor Hani 03-26962124 (norhanim@bernama.com). - Bernama

Tiada ulasan:

Blogger news